Tuesday, July 7, 2009

KPMNJ lancar Skim Saham Kambing

Dipetik dari Utusan Malaysia, 23/06/2009
----------------------------------

JOHOR BAHRU 22 Jun - Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor (KPMNJ) akan melancarkan Skim Saham Kambing atau Qiradh An- Am dalam masa terdekat bagi memberi peluang kepada ahlinya menjana pendapatan melalui projek ternakan kambing yang telah diusahakan.

Pengerusinya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, skim tersebut merupakan rentetan daripada projek perintis kambing boer yang dijalankan di Kahang, Kluang.

Beliau berkata, pengenalan skim berkenaan juga sejajar dengan pembangunan pesat Iskandar Malaysia terutamanya dalam sektor makanan dan pemprosesan agro.

"Dengan skim berkenaan, ahli koperasi dipelawa untuk menyuntik modal bagi projek penternakan kambing boer sekali gus menikmati pendapatan yang telah dijana.

"Namun harus diingat, semua ahli yang berminat perlu menjadi ahli yang aktif," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Perwakilan KPMNJ ke-14, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Johor, Ahmad Ali.

Dalam pada itu, Ahmad Ali berkata, pihaknya akan mengembangkan perniagaan pajak gadai Islam Ar- Rahnu di beberapa lokasi di bandar raya ini bagi memenuhi keperluan awam.
Katanya, pada permulaan, satu cawangan baru Ar-Rahnu akan dibuka di Wisma Koperasi, Jalan Skudai, di sini.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan, lokasi tersebut bersesuaian untuk dibuka cawangan baru kerana terdapat permintaan yang tinggi disebabkan kawasan sekitarnya adalah penempatan masyarakat Islam.

"Pihak kami bercadang untuk membuka satu cawangan di setiap kawasan itu bagi memudahkan anggota-anggota koperasi mendapatkan pinjaman tunai bercagar emas yang mudah dan cepat," katanya.

No comments: